Tanda kemunafikan...
Gerakan munafik
bermula di Madinah di bawah pimpinan Abdullah bin Ubai. Abdullah bin Ubai,
sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w ke Madinah, merupakan seorang yang
sangat berpengaruh di sana sebagaimana kedudukan Abu Sufyan di Makkah.
Selepas Perang Bu’as tamat penduduk Madinah (nama asalnya Yasrib) sudah
sepakat untuk melantik Abdullah bin Ubai sebagai raja di Madinah, malah
mahkotanya pun sudah siap dibuat. Masyarakat Madinah bersetuju melantik
Abdullah bin Ubai menjadi raja menunjukkan dia memiliki sifat-sifat yang
menyebabkan dia dihormati dan dimuliakan.
Sebelum Nabi
Muhammad s.a.w berhijrah ke Madinah, kaum Yahudi sudah lama bertapak di
sana. Kaum Yahudi dikenali sebagai ahli Kitab, orang beragama yang memiliki
peradaban yang mulia. Kaum Yahudi juga menguasai bidang ekonomi dan mempunyai
kekuatan dalam bidang ketenteraan. Kaum Yahudi yang dikenali sebagai ahli
agama, ahli ilmu, ahli ekonomi dan ahli ketenteraan menyebabkan mereka
dipandang tinggi oleh orang Arab Madinah.
Orang Arab
Madinah memandang kaum Yahudi sebagai manusia yang berjaya dan disegani.
Kedudukan kaum Yahudi yang demikian menyebabkan orang Arab Madinah suka
meniru peradaban Yahudi tetapi mereka tidak memeluk agama Yahudi. Bagi
orang Arab agama Yahudi dilihat sebagai khusus untuk orang Yahudi sahaja.
Walaupun tidak menerima agama Yahudi tetapi banyak daripada nilai-nilai
moral Yahudi diterima pakai oleh orang Arab Madinah.
Golongan Arab
Madinah yang berilmu merupakan orang yang paling banyak menceduk peradaban
Yahudi dan meng-Arabkan peradaban tersebut. Di antara mereka adalah Abdullah
bin Ubai. Kumpulan Abdullah bin Ubai mempraktikkan nilai-nilai moral yang
lebih tinggi daripada orang Arab Madinah yang lain. Oleh kerana itu mereka
dipandang tinggi dan dihormati. Ketika Perang Bu’as hampir berlaku di antara
dua puak terbesar di Madinah, kumpulan Abdullah bin Ubai menentang suku-suku
mereka yang mahu berperang itu. Bila peperangan berlaku juga Abdullah bin
Ubai tidak ikut serta dalam peperangan tersebut. Sikap berkecualinya itulah
yang menyebabkan dia dicadangkan untuk menjadi raja setelah kedua-dua pihak
yang berperang itu berdamai.
Walaupun menimba
dari telaga Yahudi namun ahli fikir Arab Madinah mempertahankan ke-Araban
mereka. Sikap yang demikian menyebabkan terbentuk aliran pemikiran yang
kabur. Ia bukan Yahudi dan bukan juga Arab. Mereka menganggap diri mereka
setaraf dengan orang Yahudi yang berilmu dan mereka lebih mulia daripada
umat Arab yang jahil. Oleh kerana apa yang terbentuk dalam aliran pemikiran
mereka tidak jelas, maka tidak ada satu bentuk kepercayaan atau akidah
yang mereka pertahankan. Mereka mempertahankan satu perkara sahaja, iaitu
merekalah golongan Arab yang paling pintar dan apa sahaja yang datang daripada
orang Arab yang lain tidak sama dengan apa yang ada dengan mereka. Apabila
agama Islam datang ke Madinah dibawa oleh orang Arab Makkah, kumpulan Abdullah
bin Ubai itu sudah ada keputusan sejak awal-awal lagi untuk menolaknya.
Mereka menganggap apa yang baharu datang itu lebih rendah daripada apa
yang ada dengan mereka. Mereka menjadi golongan yang tidak mempertahankan
sebarang kepercayaan dan juga tidak ada satu kepercayaan yang mereka terima.
Sebagaimana puak Yahudi yang menganggap semua bangsa di dunia lebih rendah
daripada mereka, begitu juga kumpulan Abdullah bin Ubai yang meminum air
daripada telaga Yahudi menganggap semua orang Arab lebih rendah daripada
mereka. Mereka memandang rendah apa sahaja yang datang daripada orang Arab
yang lain. Mereka adalah puak yang sudah ada keputusan untuk mengunci mata,
telinga dan hati mereka daripada segala agama yang datang kepada mereka.
Arus perkembangan
Islam melanda Madinah dengan deras dan menyeluruh. Dalam masa kurang daripada
satu tahun hampir keseluruhan penduduk Madinah sudah memeluk agama Islam.
Segala aktiviti berpusat kepada Nabi Muhammad s.a.w dan agama Islam. Kumpulan
Abdullah bin Ubai yang memandang diri mereka sebagai lebih mulia itu tidak
ada pilihan melainkan ikut serta di dalam rentak perkembangan Madinah,
jika tidak mereka akan tersisih. Penyertaan mereka di dalam arus tersebut
juga bertujuan mencari jalan merampas semula kekuasaan di Madinah sebagaimana
sebelum kedatangan agama Islam dan Nabi Muhammad s.a.w ke sana. Mereka
mahu orang-orang Makkah meninggalkan Madinah.
Oleh kerana mereka
tidak mempunyai satu bentuk kepercayaan yang jelas dan tidak ada satu agama
yang mereka pertahankan, maka mereka boleh bergerak cergas dalam apa juga
medan kepercayaan atau agama. Istilah dosa, pahala, syurga, neraka, hari
kiamat, halal dan haram tidak ada pada mereka. Akhirat tidak ada dalam
pandangan mereka. Apabila tidak ada agama yang diperjuangkan dan tidak
ada kepercayaan kepada perkara ghaib, kumpulan tersebut menyertai kegiatan
agama orang lain dalam keadaan yang dipanggil munafik. Mereka memakai baju
agama padahal mereka tidak ikhlas berbuat demikian dan tidak merelakannya.
Munafik berbeza daripada
kafir. Orang kafir tidak percaya kepada agama Islam kerana mereka mempunyai
kepercayaan sendiri dan mereka pertahankan kepercayaan tersebut. Penentangan
mereka terhadap Islam adalah jelas. Orang munafik pula di samping tidak
beriman kepada agama Islam, mereka tidak mendatangkan kepercayaan yang
menjadi alternatif dan mereka tidak menyebarkan sebarang bentuk kepercayaan.
Oleh yang demikian mereka boleh menyertai kegiatan Islam seolah-olah mereka
adalah orang Islam sejati dan mereka boleh menentang Islam seolah-olah
mereka adalah orang kafir tulin. Mereka menganggapkan Islam sebagai baju
yang boleh dipakai dan ditanggalkan menurut keadaan yang membawa keuntungan
kepada mereka.
Al-Quran menceritakan
keadaan puak munafik:
Dan sebahagian daripada
manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan Hari Kemudian”.
Padahal mereka bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak memperdayakan
Allah dan orang yang beriman, padahal mereka tidak perdayakan melainkan
diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak sedar. Di hati mereka ada penyakit,
lalu Allah tambahkan penyakit kepada mereka dan adalah bagi mereka seksaan
yang pedih sebab mereka telah berdusta. Dan apabila dikatakan kepada mereka:
“Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi”, mereka menjawab: “Kami tidak
lain melainkan orang yang membuat kebaikan”. Ketahuilah bahawa mereka itu
adalah orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar. Dan apabila
dikatakan kepada mereka, “Berimanlah sebagaimana orang yang telah beriman”.
Mereka berkata, “Apakah harus kami beriman seperti orang-orang bodoh itu
beriman?” Ketahuilah mereka itulah orang-orang yang bodoh tetapi mereka
tidak ketahui. Dan apabila mereka bertemu dengan orang yang beriman mereka
berkata, “Kami telah beriman”. Apabila bersendirian dengan syaitan-syaitan
mereka, mereka berkata, “Kami beserta kamu. Kami tidak lain melainkan memperolok-olokkan
(orang yang beriman)”. ( Ayat 8-14 : Surah al-Baqarah
)
Yang tuli, yang bisu,
yang buta. Lantaran itu mereka tidak akan kembali. ( Ayat
18 : Surah al-Baqarah )
Orang munafik
sangat berbeza daripada orang kafir. Orang kafir dengan tegas menyatakan
tidak beriman baik secara terang atau pun secara bersembunyi. Ancaman azab
neraka dan pujukan nikmat syurga tidak menarik orang kafir kepada iman.
Orang munafik pula mengucap dua Kalimah Syahadah dengan lidah mereka dan
tidak keberatan menyertai amalan ibadat bersama-sama orang Islam yang lain,
tetapi ucapan dan ibadat yang dilakukan itu tidak berbekas pada hati mereka.
Mulut mereka mengatakan beriman kepada Allah s.w.t dan hari akhirat tetapi
hati mereka kufur. Mereka adalah orang yang Islam pada zahir tetapi kafir
pada hati. Perbuatan zahir mereka sesuai dengan perbuatan orang yang beriman
kerana mereka mahu menyembunyikan apa yang ada dalam hati mereka. Ada kepentingan
diri yang mereka mahu jaga.
Puak munafik
tidak mengakui kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Bagi mereka
Nabi Muhammad s.a.w hanyalah seorang lelaki Arab yang sama dengan lelaki
Arab yang lain, yang tergolong dalam kalangan bangsa Arab yang mereka pandang
lebih rendah daripada mereka. Mereka menolak kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w.
Mereka mahu agar baginda s.a.w mengikuti kepimpinan mereka. Mereka juga
tidak mempunyai perasaan hormat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Oleh kerana
mereka menganggapkan Nabi Muhammad s.a.w, maka mereka tidak menerima kedudukan
wahyu sebagai Kalam Allah s.w.t. Mereka menganggap wahyu hanyalah perkataan
Nabi Muhammad s.a.w yang sama dengan perkataan orang lain yang boleh dihujah
dan ditolak. Puak munafik, dengan kerjasama kaum Yahudi, sangat aktif di
dalam mempertikaikan wahyu dan hadis Nabi Muhammad s.a.w.
Tuhan memperingatkan
Rasulullah s.a.w supaya berwaspada terhadap puak munafik yang akan mencuba
untuk membawa baginda s.a.w tunduk kepada pemimpin mereka. Baginda s.a.w
diperingatkan bahawa puak munafik itu tidak suka kepada baginda s.a.w.
Wahai Nabi! Berbaktilah
kepada Allah dan jangan engkau taat kepada kafir-kafir dan munafik-munafik,
sesungguhnya Allah adalah Mengetahui, Bijaksana. ( Ayat
1 : Surah al-Ahzaab )
Dan jangan engkau
tunduk kepada orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan biarkanlah
gangguan mereka. Dan berserah dirilah kepada Allah kerana cukuplah Allah
sebagai Pengawal. ( Ayat 48 : Surah al-Ahzaab )
Dan apabila dikatakan
kepada mereka, “Marilah kepada apa yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya”,
kamu melihat orang munafik berpaling daripadamu sungguh-sungguh. (ayat
61 : Surah an-Nisaa’ )
Dan dari kalangan
mereka ada yang menyakiti Nabi dan mereka berkata, “Dia itu pendengar!”
(Maksudnya mengiyakan sahaja apa yang orang lain kata). Katakanlah: “Dia
memang pendengar kebaikan kamu, dia beriman kepada Allah dan dia percaya
kepada mereka yang beriman, dan jadi rahmat bagi orang yang beriman di
antara kamu”. Dan mereka yang menyakiti Rasul Allah bagi mereka azab yang
pedih. ( Ayat 61 : Surah at-Taubah )
Sangat sukar
menangani puak munafik kerana secara terangnya mereka mengaku beriman walaupun
hati mereka menolak. Mereka juga sanggup bersumpah bagi menegakkan benang
basah.
Mereka akan bersumpah
dengan Nama Allah kepada kamu untuk menyenangkan kamu, padahal Allah dan
Rasul-Nya yang lebih patut mereka sukakan jika adalah mereka orang yang
beriman. ( Ayat 62 : Surah at-Taubah )
Oleh kerana
puak munafik hidup dalam kepura-puraan mereka sangat takut jika rahsia
mereka diketahui oleh orang lain.
Amat takut orang
munafik itu bahawa akan diturunkan atas mereka suatu surah yang mengkhabarkan
kepada mereka apa yang ada dalam hati mereka. Katakanlah: “Perolok-olokkanlah!
Sesungguhnya Allah akan mengeluarkan apa yang kamu takutkan itu”. (Ayat
64 : Surah at-Taubah )
Apabila tembelang
mereka pecah puak munafik itu akan berdalih secara selamba dan mudah. Bila
bertembung dengan kebenaran yang tidak dapat dielakkan puak munafik tidak
akan mempertahankan kesesatan dan kebohongan yang mereka telah lakukan.
Dan jika engkau tanyakan
kepada mereka tentu mereka akan berkata, “Kami ini hanya bergurau senda
dan bermain-main”. Katakanlah: “Apakah dengan Allah dan ayat-ayat-Nya dan
(dengan) Rasul-Nya kamu hendak berolok-olok?” ( Ayat 65
: Surah at-Taubah )
Puak munafik
menyebarkan ajaran yang menyalahi syariat Islam. Apabila syariat meletakkan
peraturan amal makruf dan mencegah yang munkar, puak munafik akan menilai
yang makruf sebagai keuntungan duniawi dan yang munkar pula sebagai kerugiannya.
Mereka menganggap zakat dan sedekah sebagai bukan amal makruf kerana ia
merugikan dari segi keduniaan.
Laki-laki munafik
dan perempuan munafik yang sebahagian mereka adalah dari yang sebahagian,
mereka menyuruh yang munkar dan melarang dari yang makruf dan mereka genggamkan
tangan mereka (bakhil). Mereka telah melupakan Allah dan Allah pun melupakan
mereka. Sesungguhnya orang munafik itu adalah orang yang fasik (melewati
batas). ( Ayat 67 : Surah at-Taubah )
Puak munafik
pandai berdolak-dalih. Mereka berani menggunakan nama Allah bagi menutup
kesesatan dan kekufuran mereka. Tuhan memerintahkan Nabi s.a.w agar berjihad
memerangi orang munafik kerana mereka adalah orang yang kufur.
Wahai Nabi! Berjihadlah
terhadap kaum kafir dan munafik dan berlaku keraslah terhadap mereka. Tempat
kembali mereka adalah jahanam dan itulah yang seburuk-buruk kesudahan.
Mereka akan bersumpah dengan Nama Allah bahawa mereka tidak pernah berkata,
padahal mereka pernah mengatakan kalimat kufur dan mereka telah kafir sesudah
Islam dan mereka sangat mengingini apa yang tidak dapat mereka capai. Dan
tidaklah kebencian mereka itu melainkan kerana Allah dan Rasul-Nya telah
memperkayakan orang yang beriman dengan kurnia-Nya. Tetapi jika mereka
bertaubat adalah baik bagi mereka dan jika mereka berpaling, Allah
akan azabkan mereka dengan satu azab yang pedih di dunia dan di akhirat;
dan tidak ada bagi mereka pembantu di bumi dan tidak ada penolong. (
Ayat 73 – 74 : Surah at-Taubah )
Al-Quran memberi
peringatan tentang ancaman puak munafik terhadap keselamatan dan kepercayaan
orang yang beriman. Tuhan menamakan satu surah al-Quran dengan nama surah
al-Munafiqun, bagi menyedarkan kaum Muslimin betapa bahayanya kehadiran
puak munafik di dalam masyarakat kaum Muslimin. Tuhan menggesa Nabi Muhammad
s.a.w dan kaum Muslimin semua zaman agar berwaspada terhadap tipu daya
dan fitnah yang datang daripada puak munafik.
Apabila orang munafik
datang kepada kamu mereka akan berkata, “Kami mengakui bahawasanya kamu
Rasul Allah,” padahal Allah mengetahui bahawasanya engkau pesuruh-Nya dan
Allah menyaksikan bahawasanya kaum munafik itu adalah orang yang berdusta.
Mereka jadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perlindungan, lalu mereka halangi
manusia dari jalan Allah. Sesungguhnya jelek apa yang telah mereka kerjakan.
Yang demikian (adalah) lantaran beriman kemudian mereka kufur, lalu dimetrai
atas hati mereka; oleh itu mereka tidak dapat memahami. (
Ayat 1 – 3 : Surah al-Munafiquun )
Dan apabila engkau
lihat mereka, menghairankan kamu tubuh-tubuh mereka; dan jika mereka berkata-kata,
engkau dengarkan perkataan mereka. Mereka seolah-olah kayu yang disandarkan.
Tiap-tiap teriakan mereka sangka buat membahayakan mereka. Mereka adalah
musuh; maka hendaklah engkau awasi mereka. Allah laknati mereka! Ke manakah
mereka dipalingkan? ( Ayat 4 : Surah al-Munafiquun )
Tuhan memperingatkan
sungguh-sungguh kepada Nabi s.a.w dan kaum Muslimin sekaliannya pada semua
zaman, supaya jangan membiarkan racun yang ditabur oleh golongan munafik
memusnahkan umat. Sekali lagi Tuhan memberi peringatan!
Wahai Nabi! Berjihadlah
menentang kaum kafir dan munafik dan berlaku keraslah terhadap mereka dan
tempat kembali mereka itu adalah jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat
kembali. ( Ayat 9 : Surah at-Tahrim )
Tuhan memberi
peringatan kepada kaum Muslimin, sekiranya kegiatan puak munafik yang mencampur
adukkan kesesatan dan kekufuran ke dalam akidah Islam tidak dibendung,
nescaya umat Islam akan menemui kehancuran. Setiap umat Islam mestilah
berwaspada terhadap orang munafik yang berada di tengah-tengah mereka.
Tanda munafik mudah dikenal melalui keengganan mereka berjuang pada jalan
Allah s.w.t.
Dan supaya dibuktikan-Nya
pula keadaan orang-orang munafik. Dikatakan kepada mereka: “Marilah berperang
pada jalan Allah atau pertahankanlah.” Mereka menjawab, “Kalau kami tahu
berperang nescaya kami ikut kamu (berperang).” Mereka itu pada hari tersebut
lebih hampir kepada kufur daripada kepada iman. Mereka berkata dengan mulut
mereka apa yang tidak ada dalam hati mereka. Dan Allah lebih Mengetahui
apa-apa yang mereka sembunyikan. (Adalah) mereka yang berkata kepada saudara-saudara
mereka sambil mundur, “Kalau mereka ikut kami tentu mereka tidak terbunuh.”
Katakanlah: “Kalau begitu tolakkanlah kematian daripada kamu jika memang
kamu orang yang benar.” ( Ayat 167 – 168 : Surah a-Li
‘Imraan )
Kemunafikan
lebih ketara melalui amalan yang mereka lakukan sambil lewa sahaja, semata-mata
sebagai pameran.
Orang munafik menipu
Allah dan Allah pun (balas) menipu mereka. Dan apabila mereka berdiri kepada
sembahyang mereka berdiri dalam keadaan malas. Mereka menunjuk-nunjuk kepada
manusia dan tidaklah mereka mengingati Allah kecuali sedikit. Keadaan mereka
terumbang ambing di antara yang demikian itu, tidak kepada mereka itu,
tidak kepada mereka ini; kerana barangsiapa disesatkan oleh Allah maka
tidak akan engkau dapat satu jalan (keselamatan) baginya.
( Ayat 142 – 143 : Surah an-Nisaa’ )
Tuhan memberi
amaran yang keras kepada orang munafik:
Sesungguhnya jika
tidak berhenti juga orang munafik itu dan orang yang dalam hatinya ada
penyakit dan pengacau-pengacau di Madinah, nescaya Kami akan kerahkan engkau
terhadap mereka. Kemudian itu tidaklah mereka akan bertetangga lagi dengan
engkau di situ kecuali bagi masa yang singkat. Mereka di dalam keadaan
terkutuk di mana sahaja mereka dijumpai dan mereka akan dibunuh sampai
semusnah-musnahnya. Sunah Allah yang telah berlaku pada orang-orang yang
terdahulu. Dan sekali-kali tidak akan didapati bagi Sunnatullah itu satu
pengganti. ( Ayat 60 –62 : Surah al-Ahzaab )
Al-Quran telah
memberi gambaran yang jelas tentang orang munafik. Rasulullah s.a.w dan
kaum Muslimin mengenali puak munafik yang ada di dalam masyarakat mereka.
Mereka dapat menunjukkan dengan jelas bahawa Abdullah bin Ubai adalah pemimpin
puak munafik. Keterangan yang telah diberikan oleh al-Quran memberi manfaat
bagi kaum Muslimin dalam mengawasi pergerakan puak munafik agar perpaduan,
keselamatan dan kesejahteraan kaum Muslimin dapat dipelihara. Umat Islam
yang datang kemudian mestilah memerhatikan petunjuk daripada al-Quran bagi
mengenali musuh-musuh mereka.
Abdullah bin
Ubai telah pun mati. Markas puak munafik, sebuah masjid yang dibina di
Zu Awan, sudah pun dibakar oleh kaum Muslimin pada zaman Rasulullah s.a.w.
Tetapi kaum Muslimin perlu berwaspada kerana racun munafik masih berjalan
hingga ke hari ini.
Puak munafik
terdiri daripada orang-orang yang sangat licik. Mereka hidup bersama-sama
orang Islam, mengaku sebagai orang Islam dan melibatkan diri dalam kegiatan
kaum Muslimin, malah mereka merasakan yang mereka lebih Islam daripada
orang-orang Islam yang lain. Memang sukar untuk mengenali hati yang munafik,
sedangkan mulutnya mengucapkan dua Kalimah Syahadah dan anggotanya melakukan
ibadat bersama-sama kaum Muslimin yang lain. Orang munafik bergerak di
dalam masyarakat orang Islam, sebagai orang Islam dan menggunakan ajaran
Islam. Orang munafik melakukan apa yang sudah dibuat oleh kaum Yahudi dan
Nasrani, iaitu mengubah maksud kitab Allah dan meminda syariat Islam. Mereka
mengadakan tafsiran al-Quran menurut cara mereka sendiri. Puak munafik
adalah ilmuan yang mengeluarkan al-Quran tiruan dan Hadis palsu, terutamanya
dalam soal yang bersangkutan dengan akidah dan kebatinan. Daripada puak
yang demikianlah muncul istilah kebudayaan Islam yang ditampalkan kepada
kegiatan maksiat yang berlawanan dengan syariat Tuhan. Lahir pula persatuan
Islam pada nama tetapi bergiat memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Ada
pula istilah seni bina Islam diletakkan pada bangunan yang digunakan sebagai
sarang perjudian dan pelacuran. Lebih buruk lagi timbul akidah syirik yang
dikatakan sebagai akidah Islam yang sebenarnya. Racun yang dikeluarkan
oleh Abdullah bin Ubai dan kawan-kawannya sudah meresap ke dalam darah
daging umat Islam di seluruh dunia pada masa kini. Hanya bimbingan daripada
Allah s.w.t dapat menyelamatkan umat Islam daripada fitnah puak munafik
itu.
Orang munafik
tidak mempunyai kepercayaan dan pegangan yang jelas. Mereka sendiri tidak
pasti apakah yang mereka pegang dan imankan. Mereka bergerak berlandaskan
kepercayaan dan pegangan orang lain dengan mengadakan perubahan kepada
yang asli, tetapi mereka tetap menggunakan label yang asli, seperti lembu
yang mati di tepi jalan diletakkan label halal. Orang munafik bergerak
di dalam masyarakat orang Islam, bercakap pasal Islam, tetapi apa yang
mereka bawa adalah perkara yang sudah diselewengkan. Orang yang berilmu
dapat melihat penyelewengan tersebut tetapi orang jahil akan keliru kerana
si munafik bercakap tentang Allah s.w.t dan agama Islam. Lebih-lebih lagi
si munafik itu pandai menggunakan hujah keagamaan, terutamanya secara usul
yang tidak ada kesudahan. Mereka suka menggunakan cara berteka teki yang
sukar dimengerti. Lebih mengelirukan lagi apabila si munafik berhujah dengan
menyandarkan kepada Hadis Nabi s.a.w, perkataan sahabat dan wali-wali yang
mereka gubah sendiri, yang tidak diketahui oleh orang jahil. Si munafik
boleh bersumpah bohong dengan menggunakan nama Allah bagi memerangkap orang
yang jahil. Orang Islam yang jahil mudah terperangkap dengan ajaran sesat
orang munafik. Kegiatan orang munafik menjadi lebih mudah setelah berlaku
proses asimilasi agama-agama lain seperti Buddha, Hindu dan Keristian ke
dalam agama Islam.
Setiap kaum Muslimin
yang insaf berkewajipan menyelak setiap hamparan dan membongkar setiap
tutupan bagi mencari racun munafik yang bersembunyi di dalam kalangan umat
Islam. Racun tersebut mestilah dikeluarkan. Inilah jihad kaum Muslimin
zaman ini!
Sumber laman..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan